suria

AFC: Thailand Jadi Gelanggang Aksi Malaysia-Korea Utara

PETALING JAYA: Selepas penangguhan buat kali ketiga, aksi kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019 di antara Malaysia dan Korea Utara akhirnya akan diadakan di Thailand pada 10 dan 13 November depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata Thailand dipilih sebagai gelanggang natural selepas persatuan bola sepak negara itu mengesahkan kesanggupan mereka untuk menganjurkan kedua-dua perlawanan tersebut.

Namun, katanya, lokasi sebenar dan waktu sepak mula akan ditentukan kemudian.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand) yang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi kedua-dua perlawanan ini.

"FA Thailand telah memastikan bahawa AFC telah dapat mengekalkan integriti kesukanan untuk kelayakan Piala Asia AFC," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Windsor, aksi pertama pada 10 November depan akan meletakkan Korea Utara sebagai tuan rumah perlawanan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia pula akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan kedua pada 13 November depan.

Terdahulu, perlawanan pusingan kelayakan akhir yang sepatutnya diadakan di Pyongyang pada 5 Oktober lalu ditangguhkan selepas Kementerian Luar melarang rakyat Malaysia ke Korea Utara.

Penundaan berkenaan berikutan ketegangan memuncak di Semenanjung Korea berhubung ujian peluru berpandu Korea Utara selain ancaman perang daripada Amerika Syarikat yang bersedia menyerang Republik itu pada bila-bila masa.

AFC, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tuah Gol 'Kala Jengking' Giroud

Artikel Lain