suria

Khairul Hafiz Azam Catat Bawah 10 Saat

KOTA TINGGI: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berhasrat untuk melakukan catatan bawah 10 saat, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku atlet terpantas di rantau Asia Tenggara dalam acara 100 meter.

Hasrat itu disuarakan Khairul Hafiz, selepas seorang atlet Jepun Yoshihide Kiryu berjaya memecahkan rekod kebangsaan negara berkenaan dalam acara 100 meter dengan catatan 9.98 saat , baru-baru ini.

"Ia satu motivasi kepada saya untuk bersaing di pentas antarabangsa. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik,” katanya di sini Selasa.

Terdahulu, Khairul Hafiz dianugerahkan Olahragawan Harapan pada Majlis Anugerah Juara Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz yang dikenali sebagai ‘The Speedy Jantan' berkata beliau kini semakin pulih daripada kecederaan dan telah memulakan latihan bersama jurulatihnya Poad Kassim di SSTMI.

Selain itu, Khairul Hafiz turut memaklumkan beliau berjaya melayakkan diri untuk bersaing pada Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

"Fokus saya sekarang untuk Sukan Asia. Saya akan cuba mendapatkan kembali pingat emas yang telah dimenangi Datuk Rabuan Pit dan saya akan buat yang terbaik," katanya.

Khairul Hafiz berkata beliau juga sedang memberi fokus untuk layak secara merit untuk mewakili negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Sebagai persediaan menghadapi kedua-dua temasya sukan berkenaan tahun depan, Khairul Hafiz dijangka beraksi pada Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, London, Mac tahun depan. - BERNAMA

Khairul Hafiz Jantan

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Berikut

Ronaldo Ucap Takziah

Artikel Lain