suria

FAP Tamatkan Khidmat Dua Import

Diogo Ferreira.

GEORGE TOWN: Dua pemain import Pulau Pinang, Diogo Ferreira dan Andrew Russell disingkirkan kerana gagal menampilkan aksi yang diharapkan selain memberi ruang kepada jurulatih, Zainal Abidin Hassan mencari penyerang import bagi mengukuhkan cabaran dalam baki saingan Liga Super.

Ferreira, 27, bekas pemain skuad bawah 23 tahun Australia yang beraksi sebagai pemain tengah dan Russell, 29, bekas pertahanan pasukan kebangsaan Hong Kong ditamatkan kontrak selepas Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengadakan perbincangan bersama Zainal Abidin.

Khidmat dua lagi pemain import iaitu pemain pertahanan kelahiran Brazil, Reinaldo Lobo dan juga penyerang Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba, dikekalkan.

Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata keputusan itu dicapai mengikut keperluan pasukan dan juga prestasi kurang memuaskan yang ditunjukkan kedua-dua pemain tersebut setakat ini.

"Tempat mereka akan diganti oleh dua pemain import baharu yang akan dipilih dalam masa terdekat," katanya.

Zairil berkata pihaknya bersama Zainal Abidin telah menjalankan ujian terhadap lima pemain import khususnya mereka yang boleh bermain dalam posisi penyerang baru-baru ini.

Beliau berkata masalah utama yang dihadapi skuad Harimau Kumbang musim ini ialah kegagalan pemain dalam menyempurnakan peluang gol yang dicipta.

"Fokus kami kali ini adalah untuk mencari pemain import yang boleh menjaringkan gol dan mengikut kuota, dua daripada pemain yang bakal menyarung jersi Harimau Kumbang itu harus dari Asia.

"Kami juga telah berbincang dan memberi kepercayaan penuh kepada Zainal Abidin untuk memastikan pemilihan pemain import yang baharu adalah yang terbaik untuk Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata pengumum rasmi akan dibuat akhir bulan ini bagi memperkenalkan pemain import baharu yang akan membantu Pulau Pinang dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Selepas 12 perlawanan, skuad Harimau Kumbang kekal di tangga tercorot Liga Super apabila hanya mampu mencatat satu kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan dengan mengutip lima mata. - BERNAMA

pemain import, FAP

Artikel Berikut

Artikel Lain