suria

Nasib 5 Pasukan Liat Bayar Gaji Diumum 26 April

PETALING JAYA: Nama lima pasukan Liga Malaysia yang bakal berdepan pemotongan mata kerana masih gagal melunaskan gaji pemainnya hanya akan didedahkan pada 26 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata surat tindakan tataterib juga akan dikeluarkan pada tarikh sama.

"Nama lima pasukan terlibat akan dimaklumkan dalam satu kenyataan media yang akan dikeluarkan pada 26 April ini. Surat tindakan tatatertib juga akan dikeluarkan pada tarikh itu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai punca penangguhan itu, Kevin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Maaf saya tak boleh beri sebarang komen," katanya.

Kevin turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

"Tolong jangan buat spekulasi. Tunggu sehingga 26 April ini," katanya.

Pada Khamis, FMLLP mengumumkan akan menghantar surat tindakan tatatertib kepada lima pasukan yang masih gagal menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain mereka pada Jumaat.

Pada masa sama, badan pentadbir Liga Malaysia itu turut akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut sebaik sahaja surat diserahkan kepada pasukan terlibat.


FMLLP, tunggakan gaji

Artikel Berikut

Artikel Lain