suria

MSN Lunas Bayaran Lima Bekas Pemenang Paralimpik

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah melunaskan bayaran Skim Imbuhan Tetap Bulanan kepada lima pemenang pingat Sukan Paralimpik yang berlangsung sebelum ini berdasarkan pencapaian pingat masing-masing pada akhir Oktober lalu.

Lima penerima imbuhan itu termasuk bekas atlet Mariappan Perumal, yang menang pingat gangsa di Seoul 1988 (angkat berat 57kg) dan Bercelona 1992 (60kg); Cheok Kon Fatt (1992, perak, angkat berat 52kg); Mohamad Khasseri Othman (1992, gangsa, lompat tinggi B2); Siow Lee Chan (Beijing 2008, gangsa, angkat berat 56kg) dan atlet memanah kategori W1/W2, Hasihin Sanawi yang meraih pingat perak di London pada  2012.

Hasihin turut beraksi pada Sukan Paralimpik Rio di Janeiro, dua bulan lalu tetapi gagal mengulangi pencapaian terbaiknya apabila terkandas di pusingan 32 terakhir.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pemberian elaun pencen kepada lima pemenang sebelum ini  diberikan serentak dengan empat atlet Paralimpik yang melakar kejayaan di Rio de Janeiro pada September lalu.

"Pemberian elaun itu adalah selaras dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa imbuhan bulanan tersebut akan dibayar mulai bulan Oktober.

"Jadi kita sudah selesaikan pembayaran kepada lima atlet sedia ada dan juga empat bekas atlet Paralimpik berkuat kuasa hujung bulan lalu," katanya kepada mStar Online.

Menurut Ahmad Shapawi, pemberian elaun itu diharapkan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan masing-masing meskipun sudah tidak mewakili negara.

"Kita mahu memastikan kebajikan bekas atlet Paralimpik dan atlet sedia yang mengharumkan nama negara terjaga walaupun selepas mereka bersara," katanya.

Di bawah skim itu, pemenang pingat emas menerima pencen bulanan sebanyak RM5,000, pemengang pingat perak RM3,000 manakala pemenang pingat gangsa RM2,000.

Dalam pada itu, tiga pemenang pingat emas di Rio, Mohamad Rizwan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20/F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20/F20) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20) turut menerima elaun tersebut sepanjang hayat.

Sementara itu, Mariappan ketika dihubungi mStar Online berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Khairy yang sentiasa memperjuangkan nasib atlet paralimpik.

"Elaun pencen ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga kerana saya tidak bekerja dan hanya mengharapkan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Terima kasih banyak-banyak YB (Khairy)," kata bapa tiga anak itu.

Lee Chan, bekas atlet yang meraih pingat gangsa di Beijing pada 2008 turut bersyukur dengan pemberian elaun tersebut kerana wang berkenaan amat bernilai bagi dirinya apatah lagi dia kini terpaksa membesarkan dua anak kembarnya sebagai ibu tunggal.

"Saya amat bersyukur sekali kerana elaun ini datang tepat pada masanya di saat saya amat memerlukan bantuan bagi menyara dua anak perempuan saya bersendirian. Terima kasih kerajaan kerana menghargai pengorbanan kami selama ini," katanya.

Artikel Sebelum

Gutierrez Tinggalkan Haas F1

Artikel Berikut

Mourinho Dilapor Sasar Mesut Ozil

Artikel Lain