suria

Gutierrez Tinggalkan Haas F1

Esteban Gutierrez.

ESTEBAN Gutierrez mengesahkan dia tidak akan mewakili pasukan Formula 1 (F1) dari Amerika Syarikat (AS) Haas F1 pada perlumbaan musim depan.

"Untuk makluman rakan-rakan, saya mahu berkongsi dengan anda bahawa saya tidak lagi bersama pasukan Haas F1 pada musim depan," kata pelumba berusia 25 tahun itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Pengumuman itu dibuat selepas pelumba Renault, Kevin Magnussen dilaporkan bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama Haas F1 bergandingan dengan Romain Grosjean dari Perancis.

Gutierrez yang tidak mendapat sebarang markah dalam 19 perlumbaan setakat ini mengucapkan terima kasih kepada pemilik pasukan (Gene Haas) kerana memberinya peluang untuk mengemudi jentera pada penampilan pertama pasukan sebagai pendatang baharu musim ini.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan.  Masih ada baki dua lagi perlumbaan yang perlu diharungi dan saya akan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Ketua Haas F1, Guenther Steiner pada Grand Prix Brazil, Khamis lalu memberitahu beliau mengharapkan pasukan itu mengumumkan barisan pelumba baharu untuk musim 2017 dalam tempoh beberapa hari lagi.

Gutierrez yang berasal dari Mexico pernah mewakili Ferrari pada 2015 tetapi diletakkan sebagai pemandu simpanan.



Esteban Gutierrez, Haas F1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain