suria

Pemain Muda Mampu Beraksi Cemerlang - Tan Cheng Hoe

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe optimis barisan pemain muda mampu beraksi cemerlang bagi membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia musim ini.

Katanya pemain muda seperti Mohd Syazwan Zainon, Mohd Farhan Roslan dan Mohd Rizal Ghazali mempunyai pengalaman memperagakan aksi di pentas final menentang Selangor pada Piala Malaysia musim lepas

Beliau berkata pengalaman itu harus dimanfaatkan bagi membantu skuad Lang Merah untuk muncul juara Piala Malaysia kali ini, selepas gagal merangkul sebarang piala tahun lepas.

"Apa yang penting semua pemain termasuk pemain muda tidak perlu takut berdepan Selangor dan perlu fokus sepanjang 90 minit permainan serta mengikut strategi yang dirancang.

"Kedah mempunyai sejarah menang ke atas Selangor sebelum ini, dan kita perlu ulangi sejarah tersebut bagi menjulang piala berprestij itu kerana ia peluang terbaik buat pasukan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Tan berkata hanya ketua pasukan, Khairul Helmi Johari masih dibelenggu kecederaan, dan berharap dia akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan pada 30 Oktober ini.

"Saya lega kesemua pemain lain termasuk Mohd Syazwan yang sebelum ini mengalami kecederaan telah pulih sepenuhnya bagi membantu pasukan mencorak strategi permainan yang mantap," katanya.

Beliau berkata perlawanan itu dijangka sengit memandangkan Selangor juga mahu mengekalkan kejuaraan, selain pasukan berkenaan mempunyai pemain berbisa seperti Andik Vermansyah, R. Gopinathan dan Patrick Ronaldinho.

Tan berkata pemain Kedah perlu lebih tangkas dan bijak mengawal pergerakan pemain skuad The Red Giants bagi mengelak memberi gol mudah kepada pasukan lawan.

"Kita akan beraksi dengan strategi permainan sebelum ini kerana corak ini kekuatan kita sehingga berjaya meningkatkan prestasi daripada pasukan kerdil kepada pasukan yang digeruni lawan.

"Berbanding sebelum ini, jentera serangan, tengah dan pertahanan kita menunjukkan prestasi yang baik...walaupun sukar, saya yakin kita mampu mencipta kejutan pada final kali ini," katanya.

Untuk rekod, pasukan Kedah yang merupakan juara Liga Perdana 2O15, terlepas peluang menjulang Piala Malaysia musim lepas apabila tewas 0-2 kepada Selangor pada perlawanan akhir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Khairy Cadang Henti Anjur F1

Artikel Lain