suria

PBSNT Nafi Azman Adnan Jurulatih Baharu Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan bekas pengendali PDRM, Azman Adnan akan membimbing pasukan pantai timur itu pada tahun depan.

Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata berita tersebut tidak benar kerana PBSNT belum membuat sekarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu setakat ini.

"Berita tersebut tidak benar dan kita menafikan, walaupun kita sedang mencari jurulatih baharu untuk musim depan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut pada Selasa.

Akhbar hari ini melaporkan mengenai kemungkinan Kelantan atau Terengganu menjadi destinasi terbaharu bekas pengendali The Cop, Azman Adnan meneruskan khidmatnya selaku jurulatih pada musim hadapan.

Menurut Wan Ahmad Nizam, bagaimanapun jawatankuasa eksekutif PBSNT akan mengadakan satu mesyuarat selepas 15 November ini untuk membincangkan pembentukan pasukan Terengganu musim depan.

Katanya antara perkara penting yang akan dibincangkan termasuklah jurulatih, pengambilan pemain-pemain baharu bagi menggantikan pemain-pemain yang akan digugurkan bagi memantapkan pasukan.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan melantik pegawai-pegawai bagi membimbing pasukan Terengganu. Justeru kata beliau pihaknya akan membentuk pasukan yang lebih mantap dan padu tahun depan ekoran kegagalan mereka meraih sebarang kejayaan musim ini.

Azman Adnan, PBSNT

Artikel Berikut

Artikel Lain