suria

Khairul Anwar Mahu Fokus Acara Recurve Berpasukan

SEPANG: Selepas berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik 2016 bagi acara recurve individu, kini pemanah kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad mahu mengalih tumpuannya dalam acara recurve berpasukan. 

Pemanah kelahiran Terengganu itu berkata Kejohanan Piala Dunia di Turki pada Jun 2016 merupakan peluang terakhir buat trio memanah kebangsaan untuk melayakkan diri ke Rio de Janeiro Brazil tahun depan.

"Sekarang kami memang perlu bekerja keras di Turki untuk layak ke Rio. Memang niat saya untuk fokus kepada acara berpasukan selepas ini. Tidak dinafikan memang akan ada saingan sengit kerana semua negara akan sertai.

Hanya 16 pasukan terbaik akan dipilih untuk bertanding bagi kelayakan ke Rio. Kita kena perbaiki pungutan mata dan prestasi individu untuk layak secara berpasukan," katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Bangkok di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Isnin.

Khairul Anuar meraih pingat emas bagi pusingan Olimpik Kejohanan MemanahAsia di Bangkok, pada Ahad sekali gus meraih tiket ke Sukan Olimpik tahun depan.

Pencapaian beliau itu menambah bilangan atlet negara ke Rio de Janeiro selepas empat penerjun negara iaitu Pandelela Rinong Pamg, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee yang sudah mengesahkan tiket lebih awal.

Khairul Anuar menyifatkan beliau tidak berasa tertekan untuk ke Sukan Olimpik sebaliknya mengakui menerima lebih tekanan ketika dalam pusingan kelayakan Olimpik.  Katanya, bagi acara berpasukan, kerjasama antara pasangan adalah penting terutamanya ketika sesi latihan.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk sesi latihan kerana saya adalah atlet sepenuh masa berbanding rakan-rakan lain yang terpaksa tumpu perhatian dengan aktiviti memanah dan pelajaran," katanya.

Sementara itu, Haziq Kamaruddin yang terlepas pingat gangsa di Bangkok itu berkata beliau berhasrat untuk menangguhkan pelajarannya selama satu semester bagi menumpukan perhatian dalam memanah sebelum beraksi pada kejohanan Piala Dunia tahun hadapan. 

Haziq berkata pasukan memanah negara perlu mempamerkan prestasi terbaiknya untuk merebut slot tiket ke Sukan Olimpik dalam acara berpasukan di Turki nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain