suria

Sengaja Pijak Kaki Lawan, Mat Yo Digantung Lima Perlawanan

PETALING JAYA: Penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha digantung lima perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik serta didenda RM2,500 gara-gara sengaja memijak pemain lawan menggunakan stud pada aksi Piala Malaysia bulan lalu.

Tindakan kasar pemain kebangsaan yang dikenali  dengan panggilan 'Mat Yo'  itu dengan  memijak pemain pertahanan Kedah, Osman Mohamad Yusof ketika aksi di Stadium Darul Aman pada 18 September lalu menyebabkan dia turut dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Muhamad Nazmi Nasaruddin.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hukuman tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Khamis selepas mendapati pemain itu bersalah kerana melanggar Perkara 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM 2015 yang dibaca bersama dengan Perkara 18 para 4 kod sama.

Malah pemain berusia 29 tahun kelahiran Besut, Terengganu ini turut  diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

Penggantungan ini sekaligus menyaksikan Mat Yo terlepas aksi-aksi penting Terenggau dalam saingan Piala Malaysia termasuk  penggantungan secara automatik bertemu Lions XII (26 September), Kedah (17 Oktober), Johor Darul Ta’zim II (27 Oktober) dan menentang Lions XII  pada 31 Oktober.

"Manakala baki satu lagi penggantungan dibawa ke perlawanan rasmi pertama yang seterusnya bagi pemain selepas perlawanan terakhir di atas (merujuk kepada Perkara 40 Kod Tatatertib FAM 2015)," jelas kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Mat Yo telah memohon maaf  kepada pemain Kedah itu di atas tindakan luar kawalan kerana gagal mengawal emosi selepas pasukannya ketinggalan tiga gol.

Pada perlawanan tersebut Terengganu tewas 5-0 kepada Kedah.

Norshahrul Idlan Talaha, Mat Yo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain