CRISTIANO Ronaldo bukan sahaja pemain bola sepak terbaik dunia malah bintang Real Madrid itu juga berjaya membuktikan dirinya seorang pelakon hebat.
Kehebatan Ronaldo dalam bidang lakonan berjaya dibuktikan menerusi satu rakaman video yang menyaksikan beliau menyamar sebagai seorang gelandangan di Real Madrid.
Dalam rakaman tersebut, Ronaldo memakai rambut dan janggut palsu serta kostum tebal untuk memperlihatkan bentuk badannya yang sedikit berisi.
Pemain itu merayau-rayau di Plaza de Callao yang terletak di pusat bandar Mardid dan mula mempamerkan kemahiran menimbang bola.Tiada siapapun yang mengendahkannya.
Ronaldo jelas kelihatan seperti gelandangan yang cuba meminta simpati daripada orang ramai yang berada di kawasan itu.
Orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tersebut turut memperlihatkan wajah tidak senang terhadap pemain dari Portugal itu.
Malah, Ronaldo turut ditolak seorang wanita ketika dia cuba meminta nombor telefonnya.
Namun, masih terdapat segelintir individu yang lalu-lalang di sekitar plaza itu menendang bola yang diumpan Ronaldo.
Selepas berada di sana selama beberapa jam, Ronaldo akhirnya bertemu seorang budak lelaki bernama Nicolas yang mengajaknya bermain bola.
Ronaldo berbual dengan budak lelaki itu dan bertanyakan namanya sebelum menurunkan tandatangan pada bola tersebut.
Sejurus selepas itu, Ronaldo menanggalkan janggut dan rambut palsu serta kaca mata hitam yang digunakannya untuk tujuan penyamaran tersebut.


