suria

Nicol, Delia Ke Separuh Akhir Kejohanan Individu Asia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David terus menampilkan permainan cemerlang selepas mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Individu Asia 2015 di Kuwait.

Nicol, pilihan pertama menewaskan pilihan ketujuh, Liu Tsz Ling dari Hong Kong; 11-6, 11-3 dan 11-7 dalam perlawanan suku akhir, pada Ahad yang diadakan di Kompleks Skuasy Antarabangsa Sheikh/Salem Al-Sabah.

Pemain berusia 31 tahun, berasal dari Pulau Pinang itu yang juga juara Asia lapan kali, akan bertemu pilihan keempat, Joshana Chinappa dari India pada saingan separuh akhir, pada Isnin.

Chinappa mara ke pusingan seterusnya selepas mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan kemenangan 3-2 (11-8, 11-13, 9-11, 11-9 dan 11-7) menentang pilihan kelima, Joey Chan dari Hong Kong dalam satu lagi pertemuan suku akhir yang sangat mencabar berlangsung selama 70 minit.

Seorang lagi pemain Malaysia, Delia Arnold juga mara ke separuh akhir selepas membuat kejutan besar menewaskan pilihan kedua, Dipika Pallikal dari India dalam perlawanan lima set; 11-7, 12-14, 11-13, 11-8 dan 11-9.

Bagaimanapun adik Delia, Rachel gagal mara selepas tewas 5-11, 5-11 dan 7-11 kepada pilihan ketiga dan juara bertahan, Annie Au dari Hong Kong.

Pemain lelaki negara tidak mempunyai wakil apabila wakil tunggal dalam kejohanan itu, Mohd Nafiizwan Adnan tewas 5-11, 6-11, 11-9 dan 8-11 kepada pemain tuan rumah, Abdullah Al-Mezayen di suku akhir.


Nicol, Kuwait

Artikel Sebelum

Artikel Lain