suria

Sah Chong Wei Digantung Lapan Bulan, Berakhir 30 April

Penggantungan Chong Wei bakal berakhir 30 April ini.

PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sah dijatuhi hukuman gantung daripada beraksi selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bermula 30 Ogos 2014.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan perkara itu selepas menerima berita tersebut daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pagi Isnin.

"Keputusan kes doping melibatkan Datuk Lee Chong Wei telah diputuskan oleh BWF yang menyaksikan beliau digantung selama lapan bulan bermula tarikh ujian doping yang dilakukan ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen 30 Ogos 2014.

"Penggantungan ini akan berakhir pada 30 April 2015," jelasnya pada sidang media di Kementerian Belia dan Sukan, Isnin.

Khairy berkata, keputusan panel BWF ini teliti dan jelas apabila mendapati penemuan Dexamethasone dalam badan Chong Wei lebih kepada kecuaian.

“Dalam kes ini panel menganggap beliau bukan sengaja menipu tetapi lebih kepada kecuaian selepas mendapati kapsul herba ‘Cordyceps’ mempunyai Dexamethasone tanpa disedari.

“Beliau mengamalkan makan herba tersebut sejak berusia 13 tahun, yang dipercayai oleh keluarganya untuk kesihatan. Sebelum ini tidak pernah diuji positif, sebab itulah kes ini dianggap ‘sangat jarang’ berlaku,” jelasnya.

Tambah Khairy, Chong Wei bakal membuat penampilan pertamanya pada kejohanan Piala Sudirman di Dongguan, China pada 10-17 Mei ini.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memberi lampu hijau untuk pendaftaran nama Chong bagi menyertai Piala Sudirman yang tarikh akhir serahan nama malam ini.

“Malah selepas itu beliau akan menyertai pasukan negara ke Sukan SEA pada Jun ini buat pertama kali selepas temasya 2005 di Manila,” katanya.

Berikutan keputusan ini, Chong Wei kelihatan gembira untuk menyambung kembali tugasnya di gelanggang.

Ketika ditemui, beliau berkata: “Lebih kurang lapan bulan berehat dan secara jujurnya kejadian ini telah menjadikan mental saya semakin kuat.

“Untuk tiga hari ini saya akan berehat. Selepas itu akan membuat persiapan untuk mengembalikan rentak saya. Tumpuan utama adalah untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro dan Kejuaraan Dunia tahun depan,” katanya.



Artikel Sebelum

Chong Wei Lega

Artikel Lain