suria

Bayern Kini Juara Liga Jerman Tiga Tahun Berturut-turut

Bayern Munich kini muncul juara liga musim 2014/15. Ia adalah kemenangan yang ketiga berturut-turut bagi kelab dari daerah Bavaria itu.

BAYERN Munich diisytiharkan juara Bundesliga musim ini selepas Wolfsburg tewas kepada Borussia Mönchengladbach 0-1 pada Ahad sekaligus membuka jurang 15 mata di atas liga dengan baki empat perlawanan sahaja lagi yang tinggal.

Ia juga adalah kejuaraan liga yang ketiga berturut-turut untuk Bayern. Keseluruhannya Bayern telah memenangi 25 kejuaraan liga.

Mereka menumpaskan Hertha Berlin 1-0 pada Sabtu tetapi masih tidak dapat meraikan kemenangan itu sementara menunggu Wolfsburg yang kini berada di tangga kedua selesai bertemu Borussia.

Bagi Wolfsburg, secara matematiknya, mereka tidak dapat mengejar Bayern malah kedudukan mereka di tempat kedua kini turut terjejas kerana masih boleh dikejar oleh Borussia Mönchengladbach yang cuma empat mata di belakang.

Untuk pengurus Bayern, Pep Guardiola pula, ini adalah kejuaraan liganya yang kedua dalam tempoh dua musim dia bersama kelab Bavaria itu.

Dia kini akan cuba mengulangi kejayaan Bayern menyempurnakan tiga kejuaraan dalam satu musim sepertimana yang mereka capai pada 2013 iaitu semusim sebelum ketibaannya.

Tiga kejuaraan itu ialah juara liga, juara Piala Jerman dan juara Liga-Liga Juara Eropah.

“Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang dan hebat apatah lagi kejayaan mempertahankan kejuaraan dan saya perlu mengucapkan syabas kepada jurulatih dan juga para pemain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Bayern yang muncul juara liga dan juga juara Piala Jerman musim lalu diundi bertemu Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.

Mereka juga kini berada di peringkat separuh akhir Piala Jerman dan akan bertemu Borussia Dortmund minggu depan dalam usaha mempertahankan piala tersebut.

Walaupun dibelenggu dengan pelbagai masalah kecederaan ke atas pemain-pemain utama seperti Bastian Schweinsteiger, Franck Ribéry dan Philipp Lahm, Bayern masih mampu mempertahankan kejuaraan liga mereka malah telah sampai ke separuh akhir Piala Jerman dan juga Piala Eropah musim ini.

Bayern Munich, Wolfsburg, Bundesliga

Artikel Lain