suria

Australia Medan Terakhir Pemilihan Skuad Hoki Wanita

Nurul Nabihah Mansur

KUALA LUMPUR: Pemain skuad hoki wanita perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika berkunjung ke Australia pada pertengahan Mei depan untuk meraih tempat dalam skuad ke Sukan SEA Singapura pada Jun ini.

Ketua Jurulatih skuad hoki wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, jelajah tersebut akan menjadi medan terakhir untuk memutuskan senarai 18 pemain skuad kebangsaan.

"Lebih kurang dalam 90 peratus kita akan muktamadkan di sana jugalah (Australia), kerana apabila kita balik Malaysia, tak ada perlawanan," katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan menentang pasukan Singapura di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada Jumaat.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara yang mendapat jolokan "The BlueTigress" membenam Singapura 5-0 menerusi jaringan Surizan Awang Man pada minit kelima, Hanis Nadia Onn (17' dan 20'), Nurul Nabihah Mansur (43') dan Wan NurFaezah Md Saiuti (57').

Skuad kebangsaan yang mendominasi keseluruhan perlawanan itu, bagaimanapun gagal menyempurnakan enam pukulan sudut penalti yang diperolehi untuk mencipta lebih banyak gol.

"Selepas siri persahabatan ini kita akan tumpukan juga kepada permainan padang dan pukulan sudut. Selain itu, bakat kemahiran yang mereka ada akan dilihat juga," kata Nasihin.

Beliau membayangkan antara pemain remaja yang berpotensi untuk disenaraikan ialah Faezah, Nur Syafiqah Mohd Zain dan Nur Zafira Aziz.

Beliau yang terkejut dengan prestasi beberapa pemain remaja pada aksi tersebut berkata pemilihan ke sukan dwi-tahunan kini kembali terbuka.

"Saya memang kagum sangat dengan aksi mereka tadi. Sebenarnya ia secara automatiknya memberi satu tekanan sihat kepada pemain-pemain senior yang ada, bagaimanapun kita akan lihat secara terperinci apabila berada di Australia nanti untuk lihat bagaimana gandingan mereka bersama pemain senior.

Sebagai rekod, skuad negara bukan sahaja mempertahankan pingat emas namun mereka berjaya mencipta rekod dunia dengan menewaskan Kemboja 36-0 pada Sukan Sea 2013 di Myanmar.

Skuad kebangsaan akan beraksi dalam enam perlawanan di Perth, termasuk perlawanan dengan pasukan wakil negeri liga Australia, Australia Barat dan pasukan bawah 21 Australia Barat.

Hoki Wanita Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain