suria

Hanya 2 Perlawanan Lagi Bakal Menentukan Nasib AVB

Pasukan Spurs kendalian Villas-Boas mencatatkan kekalahan memalukan kepada City hujung minggu lalu.
Pasukan Spurs kendalian Villas-Boas mencatatkan kekalahan memalukan kepada City hujung minggu lalu.
Pasukan Spurs kendalian Villas-Boas mencatatkan kekalahan memalukan kepada City hujung minggu lalu.

MASA depan Pengurus Tottenham Hotspurs (Spurs), André Villas-Boas (AVB) kini dikhuatiri terumbang ambing selepas pasukannya dibelasah oleh bekas juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City 6-0 hujung minggu lalu.

Media massa England telah membuat spekukasi dengan memetik para penerima taruhan sebagai berkata yang mereka percaya kemampuannya untuk mengemudi kelab Utara London itu dalam kedudukan empat pasukan terbaik musim ini kini amat-amat diragui oleh anggota lembaga pengarah.

Mereka percaya dan yakin yang pengurus bangsa Portugis itu akan menjadi mangsa pemecatan seterusnya dalam liga yang penuh dengan tekanan dan dahagakan kejayaan itu.

Kini AVB hanya mempunyai dua perlawanan sahaja lagi untuk menyelamatkan kariernya bersama Spurs - pertama menentang kelab kerdil Tromso dalam Liga Europa pada Khamis dan perlawanan kedua iaitu yang lebih getir ialah menentang Manchester United pada Ahad.

Memang nasib AVB agak malang kerana selepas Man City dia harus mengadap Man Utd pula yang akan bermain mati-matian untuk memastikan mereka mengutip tiga mata penuh selepas dikecewakan seri dengan Cardiff City Ahad lalu.

Para penerima taruhan dan juga pemerhati bolasepak turut melihat karakter AVB sebagai sesuatu yang bakal memakan dirinya sendiri.

Dia menyalahkan semua orang kecuali dirinya dalam kekalahan besar minggu lalu.

Dia boleh menurunkan Jermain Defoe yang mempunyai rekod menjaringkan gol yang jauh lebih baik daripada Roberto Soldado yang dibeli pada harga £26 juta dari Valencia tetapi Defoe langsung tidak diturunkan dalam perlawanan menentang City.

Soldado hanya sekadar menjaringkan empat gol (tiga daripadanya menerusi sepakan penalti) dalam perlawanan liga setakat ini.

Dan yang paling kritikal ialah AVB telah diberikan bajet dengan kocek yang penuh iaitu £110.5 juta untuk membeli pemain-pemain baru - satu jumlah yang melebihi daripada apa yang mereka perolehi hasil jualan bintang mereka Gareth Bale kepada Real Madrid sebanyak £85 juta.

Namun bintang-bintang barunya itu tidak menyerlah sepertimana yang diharap-harapkan lebih-lebih lagi pemain Argentina yang dibeli dari Roma, Erik Lamela dengan harga £30 juta. Dia gagal mengilap bakat yang ada pada pemain muda itu.

Keraguan ke atas keputusan-keputusan yang dibuat oleh AVB mula dirasai apabila mereka tewas 0-3 ditangan West Ham United pada 6 Oktober lalu.

Sebelum itu mereka tewas ditangan Arsenal tetapi masih boleh dimaafkan lagi kerana musim baru, baru bermula.

Kemudian mereka seri 1-1 dengan Chelsea di tempat sendiri. Tetapi tewas kepada West Ham yang tidak berbelanja besar di musim baru adalah permulaan kepada segala masalah dan tekanan.

Keupayaan taktikal AVB mula menjadi perhatian di bawah radar kerana lembaga pengarah telah memenuhi segala permintaannya dan berbelanja besar hasil daripada penjualan Bale dengan harapan Spurs dapat menjadi pencabar utama liga.

Jadi selepas berbelanja melebihi £110 juta dan kemudian tewas 0-3 kepada kelab yang tidak berupaya untuk berbelanja sakan adalah sesuatu yang sukar untuk dihadam oleh pengurusan kelab.

Spurs hanya mampu menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan liga dan tiga daripadanya adalah menerusi sepakan penalti dan ini semua menimbulkan keresahan bukan sahaja di kalangan anggota lembaga tetapi juga para peminat setia kelab itu.

Para peminat mengkritik sistem permainan AVB yang gemar kepada formasi 4-2-3-1. Mereka mahukan kelab itu bermain dengan dua penyerang kerana Spurs mempunyai barisan penyerang yang berkaliber tetapi sebaliknya AVB lebih gemar dengan corak defensif yang sekaligus menyaksikan barisan tengahnya lebih banyak bertahan daripada mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

AVB juga turut mencetuskan kontroversi apabila dia dan pasukan perubatannya tidak sekata dengan keputusan sama ada untuk membenarkan penjaga gol, Hugo Lloris terus bermain selepas kepalanya terhantuk lutut pemain Everton, Lukaku pada 3 November lalu.

Para pengkritik melihat, sikapnya yang terlalu bergantung kepada pendekatan saintifik dalam membentuk cara permainan pasukannya telah membelakangkan dimensi kemanusiaan dalam diri pemain-pemainnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain