suria

Pelari Kenya Bolot Kemenangan Pada Standard Charted KL Marathon 2013

KUALA LUMPUR: Pelari lelaki dan wanita Kenya menguasai sepenuhnya Standard Chartered KL Marathon 2013, yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Juara bertahan, Kennedy Kiproo Lilan mencatat masa 2'19:01s untuk muncul juara, mengatasi rakan senegara Chelimo Luka Kipkemoi dan Kosgei Robert Kilagat, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 2'19:35s dan 2'19:50s dalam Maraton Penuh 42 km kategori Terbuka Lelaki.

"Perlumbaan tahun ini agak mencabar bagi saya kerana cuacanya lebih panas daripada tahun lepas. Ia menjejaskan larian saya," kata Lilan pada sidang akhbar selepas acara itu.

Rose Chekurui Kosgei pula menjuarai Maraton Penuh 42 km kategori Terbuka Wanita, mengatasi Viola Chepleting Bor dan Rose Kerubo Nyangacha, juga dari Kenya.

Kosgei menamatkan marathon itu dengan masa 2'41:05s, manakala Bor mencatat masa 2'41:26s dan Nyangacha, 2'42:31s.

Seramai 33,630 peserta dari 48 negara mengambil bahagian dalam acara itu, yang bertemakan "Run for a Reason" dan menawarkan hadiah berjumlah AS$110,000 (RM341,000).

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Acara Maraton Penuh Lelaki dan Maraton Penuh Wanita Malaysia pula masing-masing dijuarai Fabian@Osmond Daimor dan Yuan Yu Fang.

Pelari jarak jauh kebangsaan Shaharudin Hashim, yang menjuarai acara itu selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini, menduduki tempat kedua.

Pelari itu berkata, beliau tidak dapat mempamerkan prestasi terbaiknya kerana masih bersedih dengan kematian ibunya.

"Pada mulanya, saya tidak pasti sama ada hendak menyertai atau tidak perlumbaan ini kerana kurang berlatih berikutan pemergian ibu saya. Saya hanya membuat keputusan untuk menyertainya pagi ini," kata Shaharudin.

Senarai pemenang Standard Chartered KL Marathon 2013 :

Maraton Penuh Terbuka Lelaki:

1. Kennedy Kiproo Lilan (Kenya) 2 jam 19 minit 01 saat

2. Chelimo Luka Kipkemoi (Kenya) 02'19:35s

3. Kosgei Robert Kilagat (Kenya) 02'19:50s

Maraton Penuh Terbuka Wanita:

1. Rose Chekurui Kosgei (Kenya) 2'41:05s

2. Viola Chepleting Bor (Kenya) 2'41:26s

3. Rose Kerubo Nyangacha (Kenya) 2'42:31s

4. Maraton Penuh Lelaki Malaysia:

1. Fabian@Osmond Daimor 2'41:55s

2. Shaharudin Hashim 2'45:28s

3. Lim Kien Mau 2'47:53s

Maraton Penuh Wanita Malaysia:

1. Yuan Yu Fang 3'37:16s

2. Loh Chooi Fern 3'37:34s

3. Choong Swee Ying 3:38.43s

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain