suria

Kontinjen Negara Ke Palembang Dengan Misi Berganda

PALEMBANG: Kontinjen negara ke Temasya Sukan Perpaduan Islam (TSPI) edisi ketiga di Palembang, Indonesia turun dengan misi berganda - tidak setakat memburu pingat tetapi turut menjadikan temasya itu medan persiapan akhir atlet sebelum menghadapi Sukan SEA Myanmar pada Disember.

TSPI bermula secara rasmi pada Ahad sehingga 2 oktober di Kompleks Sukan Jakabaring yang pernah menjadi venue Sukan SEA Palembang, Indonesia pada 2011.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, "Walaupun sebahagian besar atlet negara ke Palembang terdiri dari atlet pelapis, saya percaya mereka masih mampu mencapai sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan (MSN)".

Malah beliau berharap mereka dapat mengatasi sasaran tiga pingat emas itu - menerusi acara renang, wushu dan karate.

Sebagai rekod pada edisi pertama di Arab Saudi pada 2005, Malaysia berjaya menduduki tempat ketujuh daripada 57 buah negara di kalangan negara-negara Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) setelah berjaya meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa.

TSPI edisi kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua kontinjen negara ke temasya itu, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata beliau optimis bahawa atlet negara mampu meraih lebih dari tiga pingat emas terutamanya menerusi acara sukan tempur seperti wushu, karate dan taekwondo.

Beliau berpesan agar semua atlet tidak mudah hilang fokus sebaliknya beraksi dengan penuh keyakinan walaupun terpaksa bersaing dengan atlet dari negara-negara Arab yang mempunyai fizikal yang lebih besar dan tinggi.

Malaysia menghantar 136 atlet dan menyertai 10 daripada 13 acara dipertandingkan iaitu renang, olahraga, badminton, bola tampar pantai, karate, taekwondo, tenis, angkat berat, memanah dan wushu.

Kontinjen negara tidak bertanding dalam acara bola sepak, bola keranjang dan bola tampar dewan. - BERNAMA

Artikel Lain