suria

Piala Malaysia: Dua Pasukan Bermula Cemerlang Pada Aksi Pembukaan

KUALA LUMPUR: Dua pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS FC dan Sime Darby FC bermula garang pada aksi pembukaan Piala Malaysia selepas menundukkan lawan masing-masing, pada Selasa.

Selangor PKNS FC mempamerkan permainan cemerlang selepas mengejutkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam saingan kumpulan B dengan kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam hasil jaringan penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh masing-masing pada minit ke-16 dan 56.

Sime Darby FC yang muncul naib juara Liga Perdana pula menundukkan Angkatan Tentera Malaysia, 4-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam aksi kumpulan A.

Empat gol wakil kelab Lembah Klang itu dijaringkan oleh Togaba Komlan Kontiwa (minit ketiga dan 22), Hadzirun Che Hamid (minit ke-31) dan Fazrul Hazli Mohd Kadri (minit ke-46).

Tiga gol skuad 'The Gladiators' pula disumbangkan oleh Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (gol sendiri) pada minit ke-14, Irwan Fadzly Idrus (minit ke-57) dan Venice Elphi a/k Danny Kaya (minit ke-75).

Dalam saingan kumpulan C, Negeri Sembilan yang dianggap pasukan bukan pilihan melakar kejutan dengan menumpaskan Terengganu, 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan pemain import, Fabio Leandro Barbosa pada minit ke-38 dan S.Sivanesan pada minit ke-53.

Turut mengutip tiga mata penuh ialah Perak yang mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas juara Liga Perdana, Sarawak di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi kumpulan D.

Dua gol skuad Seladang bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah disumbangkan oleh penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel masing-masing pada minit ke-60 dan 80 manakala gol saguhati pasukan pelawat dijaringkan Joseph Kalang Tie pada minit ke-35.

Wakil kelab Terengganu, T-Team turut mengutip tiga mata selepas mengalahkan Felda United FC, 1-0 pada satu lagi aksi kumpulan B di Stadium Mini Temerloh, Pahang.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor pula hanya mampu membawa pulang satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan menentang Johor FA dalam aksi kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Sementara itu, dua pasukan pilihan iaitu Kelantan dan Lions XII dari Singapura yang masing-masing diundi dalam kumpulan C dan D turut mengalami nasib sama selepas hanya mampu mencatatkan keputusan seri.

Pasukan kelab dari seberang tambak itu terikat seri 2-2 menentang Kedah di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Dua gol Lions XII dijaringkan oleh kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-11 dan Shahfiq Ghani pada minit ke-65 manakala dua gol skuad Kenari dijaringkan penyerang importnya dari Croatia, Alen Guc masing-masing pada minit ke-22 dan penalti (minit ke-90).

Kelantan yang merupakan juara bertahan sekadar mengutip satu mata selepas terikat seri 1-1 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Mereka terlebih dahulu berada di hadapan pada minit kesembilan menerusi jaringan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi sebelum Damion Stewart menyamakan kedudukan untuk skuad Tok Gajah pada minit ke-85.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas menerima kad merah daripada pengadil perlawanan kerana melakukan kekasaran.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain