suria

Stadium Nasional Bukit Jalil Tutup, Final Piala Malaysia Di Shah Alam

PETALING JAYA: Berikut penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi kerja-kerja baik pulih yang akan bermula Ontober ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan bahawa perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 3 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan venue perlawanan akhir itu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada Jumaat.

"Wakil FAM telah berbincang dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mendapatkan kedudukan terkini mengenai penggunaa stadium tersebut.

"Arahan telah dikeluarkan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) agar stadium ini ditutup segera bagi pembaik pulih keseluruhan stadium.

"Kerja-kerja tersebut akan bermula pada penghujung Oktober ataupun awal November dan tempoh penutupan ini dijangka selama enam bulan.

"Berdasarkan tempoh itu, kita jangkakan stadium hanya boleh diguna pada Jun 2014 sekaligus beberpaa perlawanan yang terlibat di sini terpaksa ditukar ke Stadium Shah Alam.

"Ini termasuk final Piala Malaysia. Keputusan ini dibuat lebih awal bagi memastikan tidak ada timbul sebarang masalah selepas ini.

"Kemungkinan juga perlawanan melibatkan Harimau Malaysa bertemu Bahrain dan Qatar bagi saingan Kelayakan Piala Asia dijangka juga akan berlangsung di Stadium Shah Alam," jelasnya kepada media selepas mesyuarat tersebut.

Sementara itu Afandi juga turut mengumumkan peraturan baharu permainan bola sepak yang akan digunakan secepat mungkin.

"Kami baharu menerima surat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai perubahan peraturan permainan yang tertangguh atau dibatalkan disebabkan cuaca atau sebagainya.

"Jika sebelum ini permainan yang tertunda kerana cuaca atau sebaginya, kita akan tunggu selama 90 minit dan dalam tempoh itu permainan akan disambung berdasarkan baki permainan.

"Kalau tidak beraksi dalam tempoh 90 minit itu dan disambung ke hari yang lain, perlawanan akan dimain semula dengan masa baharu.

"Tetapi peraturan baharu ini menyaksikan jika perlawanaan itu tertangguh disebabkan cuaca atau sebagainya, ia akan disambung kembali dengan baki permainan walaupun berlangsung pada hari lain.

"Dengan syarat pemain yang sama, jaringan kekal mengikut masa tertangguh, kad diambil kira (jika ada), jaringan dikira dan bermain dalam baki permainan yang tertangguh itu.

"Kita akan menggunakan syarat baharu ini pada saingan Piala Malaysia 2013," tambahnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain