suria

Piala Malaysia: Negeri Sembilan Turun Sebagai 'Underdog' Menentang Terengganu

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan akan turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Terengganu pada perlawanan pertamanya dalam kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, 20 Ogos ini.

Jurulatihnya Ridzuan Abu Shah berkata beliau lebih gemar pasukannya dianggap sebagai pasukan bukan pilihan kerana ini tidak akan memberi tekanan kepada pemain.

"Walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan tetapi saya menuntut anak buah saya supaya tidak mudah leka dan sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

Kita akan cuba sebaik mungkin kerana kita tahu bahawa Terengganu adalah pasukan pilihan dan mengharapkan pemain dapat terus mengekalkan rentak yang konsisten," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menyedari tugas berat menanti anak buahnya, Ridzuan berkata beliau sudah mengingatkan pemainnya supaya memberikan persembahan terbaik pada kempen Piala Malaysia ini.

Katanya kesemua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia memberikan tentangan yang terbaik.

Pada kempen Piala Malaysia 2013 ini, Negeri Sembilan diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Pahang, Kelantan dan Terengganu.-BERNAMA

Artikel Lain