suria

Masalah Teknikal 'Ragut' Peluang Beregu Campur Negara Ke Pusingan Kedua

GUANGZHOU: Masalah teknikal papan mata elektronik pada hari pertama Kejohanan Badminton Dunia 2013 menyebabkan beregu campuran negara Tan Aik Quan-Lai Pei Jing menelan kepahitan apabila terpaksa akur kepada pasangan China Tao Jiaming-Jinhua Tang.

Ketika perlawanan pada set pertama sepatutnya berada pada kedudukan 20-20 untuk 'deuce', pasangan negara dinafikan mata tersebut oleh pengadil perlawanan yang menyatakan mereka ketinggalan satu mata.

Selepas bantahan mereka ditolak oleh pengadil, beregu negara itu hilang fokus dan tumpas 19-21 pada set pertama dan gagal mengembalikan tumpuan pada set kedua apabila tewas mudah 7-21 kepada pasangan China berkenaan.

Ketika ditemui pemberita Malaysia selepas itu, Tan berkata mereka yang pertama kali menyertai kejohanan berkenaan begitu kecewa dengan keputusan tersebut sehingga menjejaskan tumpuan mereka.

"Pada set kedua, kami terus hilang fokus dan tidak boleh bermain dengan baik," katanya. Sementara itu, Lai enggan ditemu bual dan hanya mengalirkan air mata.

Masalah pada papan tanda tersebut telah berlaku sejak awal pagi termasuk ketika pertemuan melibatkan pemain perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain