suria

Mohd Farkhan Digugurkan Daripada Skuad Kebangsaan Dan Bukan Tarik Diri - PTAM

KUALA LUMPUR: Bekas petinju elit negara Mohd Farkhan Haron telah digugurkan daripada skuad kebangsaan ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini dan bukan menarik diri seperti didakwanya.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) pada Jumaat menjelaskan Mohd Farkhan, 25, digugurkan pada 17 Jun lepas kerana sering gagal melaporkan diri untuk sesi latihan pusat skuad kebangsaan.

Setiausaha Kehormat PTAM, Mohamed Jani Ismail berkata, pemenang emas Sukan SEA Laos 2009 itu gagal melaporkan diri untuk sesi latihan setiap kali pemilihan diadakan untuk kejohanan tempatan.

Beliau menafikan PTAM ada menerima surat menarik diri daripada Mohd Farkhan yang kononnya dihantar oleh petinju itu pada 17 Jun lepas.

"Kami (PTAM) tidak menerima sebarang surat penarikan diri daripada beliau dan selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PTAM, kita memutuskan untuk menggugurkan beliau daripada skuad kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Mohd Farkhan dalam sebuah akhbar pada Jumaat bahawa beliau memutuskan untuk keluar daripada skuad kebangsaan disebabkan kurangya kejohanan dianjurkan oleh PTAM.

Petinju itu turut mendakwa tindakan untuk menarik diri itu dinyatakan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada PTAM pada 17 Jun lepas.

"Sekiranya surat itu benar-benar dihantar kepada kita, bila dan kepada siapa beliau hantar surat tersebut?, kata Mohamed Jani ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mereka kurang menganjurkan kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa sebagai persediaan awal skuad kebangsaan menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar 2013.

Ditanya mengenai pengganti Mohd Farkhan bagi menggalas cabaran negara ke Sukan SEA Myanmar, Mohamad Jani berkata, mereka mengenalpasti Rudy Petrus, yang merupakan seorang anggota tentera, sebagai calon yang sesuai.

"Rudy merupakan juara kategori 75kg pada Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM dan kita melihat beliau calon yang sesuai untuk menggantikan Mohd Farkhan memandangkan kedua-duanya mempunyai berat badan yang hampir sama.

Beliau berkata tanpa Mohd Farkhan, PTAM masih yakin sasaran tiga pingat emas pada Sukan SEA Myanmar masih realistik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain