suria

Jerebu: Kesihatan & Keselamatan Atlet Perlu Jadi Keutamaan - Dr Ramlan

KUALA LUMPUR: Jurulatih mahupun penganjur dan penaja acara sukan perlu menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini, kata pakar perubatan sains sukan, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Justeru, beliau meminta penganjur acara-acara sukan supaya memikirkan pelan alternatif dengan menunda tarkh acara, menukar laluan atau memindahkan acara venue ke negeri-negeri lain yang mempunyai kualiti udara yang lebih baik.

Menurutnya pemantauan terhadap keadaan cuaca dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) perlu dibuat antara tiga dan tujuh hari sebelum sesuatu acara sukan diadakan.

"Kesan daripada aktiviti latihan dan pertandingan ketika keadaan berjerebu bukan sahaja untuk atlet malah turut melibatkan orang ramai dan murid sekolah," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Institut Sukan Negara (ISN), di sini Jumaat.

Dr Ramlan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ISN, berkata dalam masa terdekat ini beberapa acara sukan besar dijadual berlangsung di negara ini termasuk di negeri-negeri di selatan tanah air yang teruk dilanda jerebu.

Beliau berkata mengubah venue pertandingan ekoran keadaan jerebu di negara ini akan melibatkan pertambahan kos dan logistik namun tindakan itu tidak dapat dielakkan dan wajar dilakukan demi kebaikan semua.

Antara acara sukan utama yang bakal berlangsung pada minggu hadapan ialah Sukan Malaysia (SUKMA) di Lembah Klang, perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia (J1M 2013), pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Baharu, bermula 29 Jun ini dan hari yang sama final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada Khamis, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menunda acara Larian Hari Olimpik 2013 di Padang Merbok di sini, Ahad ini.

Begitu juga Karnival Ragbi Johor 2013 selama dua hari di Dataran Johor Baharu esok sementara perlumbaan J1M 2013 pada Rabu depan akan menggunakan laluan alternatif sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Menurut Dr Ramlan, setiap jurulatih sudah maklum mengenai perkara yang berhubung kait dengan soal kesihatan dan keselamatan atlet kerana ia adalah sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

"Saya juga mahu semua atlet dan jurulatih menerima nasihat dan pandangan ini secara serius," tambah beliau.

Dr Ramlan berkata atlet tidak digalakkan untuk menjalani latihan di tempat terbuka khususnya ketika bacaan IPU berada di tahap berbahaya.

"Tidak semestinya di kawasan bacaan IPU berbahaya sahaja tetapi ia juga meliputi semua kategori IPU. Jika bacaan IPU rendah sekali pun, atlet perlu meminimakan aktiviti latihan di luar," katanya.

Masalah kesihatan berkaitan pencemaran udara terdiri daripada kerosakan pada saluran pernafasan paru-paru, peningkatan risiko berlakunya penyakit lelah (asma), batuk, serangan jantung dan strok serta boleh membawa kematian dalam kes-kes yang ekstrem, katanya.

Dr Ramlan berkata ISN telah pun mengeluarkan garis panduan ringkas kepada atlet dan jurulatih mengenai masalah jerebu itu melalui laman web rasmi ISN di www.isn.gov.my.

Sebagai langkah untuk atlet dan jurulatih dapat meneruskan latihan jika bacaan IPU di tahap berahaya, Dr Ramlan mengesyorkan supaya mereka menjalani latihan di gelanggang tertutup.

"Ia merupakan langkah paling efektif untuk mengekalkan tahap kecergasan fizikal dan meneruskan program latihan. Jika pencemaran udara berterusan untuk tempoh yang lama, mereka boleh mempelbagaikan rutin latihan mereka," katanya.

Beliau juga menasihatkan atlet serta murid sekolah supaya elak daripada menjalani latihan pada waktu tengah hari atau petang di mana tahap pencemaran udara adalah paling tinggi.

Dr Ramlan berkata atlet serta pelajar dan orang ramai ditegah melakukan latihan sukan atau aktiviti riadah di luar apabila bacaan IPU melebihi 100 mata atau mempunyai simptom mengantuk atau sukar bernafas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya minum lebih banyak air kerana ia akan membantu mengelakkan sebarang kebarangkalian jangkitan paru-paru.

Klasifikasi bacaan IPU oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) seperti berikut iaitu 0-50 (Baik), 51-100 (Sederhana), 101-200 (Tidak Sihat), 201-300 (Sangat Tidak Sihat) dan 300 ke atas disifatkan sebagai Berbahaya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain