suria

Kejohanan Bawah 20 Tahun Untuk Kenal Pasti Pemain Kebangsaan - MABA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA)akan menganjurkan Kejohanan Bawah 20 tahun bermula bulan depan bagi mengenal pasti pemain untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung MABA Chey That Woon berkata kejohanan julung kali itu akan diadakan di tiga zon iaitu di Berapit, Pulau Pinang (Zon Utara), Stadium Tertutup MABA, Kuala Lumpur (Zon Tengah) dan Muar, Johor (Zon Selatan).

Beliau berkata pusingan awal di peringkat zon akan berlangsung dari 20 April hingga 19 Mei manakala pusingan akhir di Stadium Tertutup Presiden Tan Peng Son, Banting, Selangor, dari 7 hingga 9 Jun ini.

"Matlamat kita menganjurkan kejohanan ini adalah bagi mengenal pasti pemain yang sebelum ini pernah aktif ketika di sekolah untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Chey berkata dua pasukan terbaik di setiap zon bagi kategori lelaki dan wanita akan layak ke pusingan akhir.

Juara pasukan lelaki bagi pusingan awal menerima RM5,000 dan pasukan terbaik wanita membawa pulang RM3,000, manakala juara pasukan lelaki di pusingan akhir menerima RM10,000 sementara RM6,000 untuk pasukan terbaik wanita. -BERNAMA

Artikel Lain