suria

Lee Chong Wei & Koo-Tan Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir Kejohanan Super Siri Terbuka Korea selepas mengatasi Yun Hu 21-15, 21-17 di Seoul, pada Jumaat.

Pada saingan suku akhir di Gimnasium Olimpik 2, Chong Wei, pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, mengenepikan cabaran pemain Hong Kong itu dalam masa 31 minit.

Beregu utama negara Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir dengan menjinakkan beregu muda China, Liu Xiaolong/Qiu Zihan 21-12, 21-18 dalam masa 38 minit.

Bagaimanapun, dua lagi wakil negara dalam peringkat suku akhir gagal meneruskan cabaran apabila kalah kepada lawan masing-masing.

Beregu Goh Wei Shem/Lim Khim Wah, yang mengejutkan pilihan keempat dari Jepun semalam, gagal meneruskan rentak cemerlang mereka selepas kalah kepada pasangan tuan rumah Lee Yong Dae-Ko Sung Hyun 16-21, 10-21.

Pemain pelapis kebangsaan, Chong Wei Feng pula terkandas di tangan wakil Hong Kong, Wong Wing Ki dengan 5-21, 21-17 dan 15-21.

Pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu, Chong Wei akan menentang pemain muda Hong Kong berusia 22 tahun, Wong Wing Ki, manakala Koo-Tan akan berdepan pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae dan Ko Sung Hyun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain