suria

Piala AFF Suzuki 2012: Indonesia Tewaskan Singapura 1-0

KUALA LUMPUR: Pasukan Indonesia kembali memberikan saingan dalam Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil petang Khamis.

Skuad Garuda yang mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Laos Sabtu lepas mengasak kubu Singapura sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan oleh pengadil perlawanan Ali Hasan Ebrahim dari Bahrain namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Singapura yang diketuai Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.

Baihakki mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-31 namun percubaannya tersasar.

Singapura kemudian membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain tengah Hariss Harun dan digantikan dengan Aleksandar Duric pada minit ke-39 bagi mempertajamkan jentera serangan pasukan namun masih gagal mencari gol pendahuluan.

Pemain pertahanan Indonesia, Novan Setya Sasongko turut berpeluang untuk menjaringkan gol pembukaan untuk skuad Garuda pada minit ke-41 namun percubaannya turut tersasar.

Singapura terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-65 selepas pertahanan mereka, Muhammad Irwan Shah Arismail dilayangkan kad merah oleh Ali Hasan kerana mengasari pemain tengah Indonesia, Andik Vermansyah.

Andik yang mendapat jolokan 'Messi Indonesia' akhirnya muncul wira skuad Garuda dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma oleh Andik dari jarak 15 meter yang melepasi jangkauan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud sekaligus menceriakan lebih 3,000 penyokong mereka yang membanjiri Stadium Nasional.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengutip empat mata untuk memimpin sementara Kumpulan B.

Indonesia akan menamatkan aksi kumpulan bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Singapura akan bertemu Laos di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini (1 Disember). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain