suria

Belum Ada Kata Putus Anuar Wakili TSG Pada LTDL

KUALA TERENGGANU: Terengganu Cycling Team (TSG) belum dapat memberi kata putus berhubung pelumba basikal negara, Anuar Manan untuk beraksi bersama pasukan itu pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Hadi Hassan berkata perkara tersebut masih belum dibincangkan dan akan dibawa kepada badan lembaga pengarah TSG untuk dibuat keputusan dalam jangka masa terdekat ini.

"Sebenarnya kita tidak tahupun masalah Anuar ini, tapi kita tidak tahulah kalau dia dah buat perbincangan dengan MB (Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said) atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai Anuar yang masih menunggu kata putus daripada TSG berhubung kontraknya untuk beraksi bersama pasukan itu pada saingan LTdL tahun depan.

Menurut Anuar, untuk kembali beraksi bersama pasukan berpangkalan di Terengganu itu, beliau telah menolak tawaran daripada beberapa pasukan termasuk tidak menyambung kontrak dengan pasukan Champion System Pro Cycling yang akan tamat pada akhir Disember ini selepas menandatanganinya sejak awal tahun ini.

Mengulas mengenai khidmat Mohammed Adiq Husainie Othman, seorang lagi pelumba untuk bersama TSG, Hadi berkata pelumba itu telah menemuinya dan dilihat cukup berminat untuk menyertai TSG.

"Kita akan mengadakan satu perbincangan dengan Adiq, mungkin pada Khamis depan dan kita akan melihat tawaran dia.

"Lagipun kita kena lihat juga kemampuan kewangan kita sebelum membuat sesuatu keputusan untuk mengikat Adiq kerana kita dibiayai oleh kerajaan negeri," katanya.

TSG mempunyai 12 pelumba kesemuanya termasuk tiga pelumba import iaitu dua dari Korea Selatan dan seorang dari Jepun dibawah bimbingan jurulatih Perancis, Sebastian Duclos.

Apapun, Hadi menyambut baik hasrat Anuar dan Mohammed Adiq untuk kembali mewakili TSG dan memperkuatkan nama TSG kerana mereka merupakan pelumba negara yang hebat.

Hadi berkata untuk kejohanan LTdL akan datang dan lain-lain kejohanan, TSG membuat pemilihan pelumba berdasarkan tiga kategori penting iaitu disiplin, komitmen dan berpasukan.

Dalam hal lain, beliau berkata tawaran untuk kontrak baru kepada pelumba-pelumba sedia ada akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini sama ada mereka masih mahu bersama TSG atau sebaliknya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain