suria

Piala Malaysia: ATM Iringi Selangor, Kelantan, Lioan XII Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Lions XII dan Kelantan mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya perlawanan suku akhir kedua, Selasa malam.

ATM yang membawa kelebihan jaringan 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama Jumaat lepas, mencipta kejutan terbesar setelah menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Negeri Sembilan dengan keputusan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Skuad Rusa terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan, Mohd Alif Shamsudin seawal minit ketiga sebelum pemain pertahanan ATM Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Penyerang berbisa ATM Marlon Alex James memastikan juara Liga Perdana itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama dengan dua jaringan berharga pada minit ke-42 dan 57 membawa agregat 6-3.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor pula mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-2 selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan suku akhir pertama Selasa lepas, Selangor mencatatkan kemenangan selesa, 3-1 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Lions XII yang membuat penampilan pertama Piala Malaysia meneruskan kemaraan selepas mencatatkan kemenangan selesa, 2-0 ke atas Pahang di Stadium Jalan Besar, Singapura untuk layak menerusi agregat 3-2.

Mereka sebelum itu tumpas 1-2 kepada Pahang pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa lepas.

Dua jaringan pasukan Lions XII pada perlawanan tersebut dijaringkan kapten mereka Shahril Ishak pada minit ke-35 dan 79.

Kelantan pula hampir diaibkan pasukan kelab Felda United sebelum bangkit mencatatkan keputusan seri 2-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu untuk layak ke separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3.

Skuad Red Warriors sebelum ini mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang itu pada suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat, Sabtu lepas.

Felda United terlebih dahulu mengejutkan Kelantan menerusi jaringan Mickael Antoine Curier pada minit ke-42 sebelum pemain pinjaman Kelantan dari Sabah, Mafry Balang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-55.

Kelantan yang tidak berputus asa akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Norfarhan Muhammad pada minit ke-69 dan penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud pada masa kecederaan untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 5,6,11 dan 12 Okt ini, ATM akan menentang Lions XII manakala Selangor bertemu Kelantan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain