suria

Pelumba Tidak Perlu Latih Di Melbourne Selepas Velodrom Tertutup Siap - PKBM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan membubarkan pangkalan latihan skuad trek negara di Melbourne, Australia, selepas rancangan membina veldorom tertutup antarabangsa di Negeri Sembilan siap dalam masa dua tahun.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata dengan pembinaan velodrom itu nanti, ia boleh mengurangkan kos menghantar pelumba trek mengikuti latihan di Melbourne.

Selain itu, katanya pembangunan dan perkembangan pelumba trek boleh dipergiatkan terutamanya pelumba dalam acara kejar-mengejar individu dan berpasukan dan acara tahan lasak.

"Di Melbourne, kita hanya memberi tumpuan kepada acara pecut sahaja tetapi pembinaan velodrom tertutup ini memberi banyak manfaat kepada pelumba dalam acara lain juga," katanya di sini, Ahad.

Naim berkata sehingga velodrom itu siap, skuad pelumba negara akan meneruskan latihan di Melbourne seperti dirancang sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut peruntukan RM80 bagi pembinaan velodrom tertutup dan Akademi Badminton di Buikt Kiara di sini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 Jumaat lepas.

Naim berkata projek velodrom tertutup tersebut dijangka menelan kos di bawah RM50 juta dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Meskipun lokasi dan kos sebenar masih belum dikenalpasti, beliau bagaimanapun berkata antara lokasi yang dilihat sesuai bagi pembinaan velodrom seluas 250 meter itu adalah di sekitar Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya kertas cadangan pembinaan velodrom tertutup itu yang disiapkan oleh PKBM akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), Selasa ini. - BERNAMA

Artikel Lain