suria

Hanya 30 Minit Untuk Chong Wei Mara Pusingan Kedua Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan masa 30 minit untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Jepun di Stadium Nasional Yoyogi, Tokyo, pada Rabu.

Chong Wei, pemain nombor dua dunia, mengatasi pemain India, Anand Pawar 21-13, 21-9 untuk berdepan dengan Viktor Axelsen dari Denmark pada pusingan kedua esok.

Pemenang pingat perak Sukan Olumpik London 2012 itu dijangka mudah menjuarai kejohanan itu berikutan ketiadaan pemain China termasuk musuh tradisinya Lin Dan dan juara bertahan Chen Long.

China menarik diri penyertaan kesemua pemainnya untuk kejohanan itu berikutan hubungan tegang perebutan wilayah antara Beijing dan Tokyo membabitkn Pulau Diaoyo, sebuah pulau kecil di Laut China Timur.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng melakukan kejutan dengan menumpaskan pilihan tuan rumah, Kenichi Tago, 8-21, 21-16, 21-17. Wei Feng dijadual menentang pemain India, Ajay Jayaram, pada pusingan kedua nanti.

Pemain negara yang turut layak ke pusingan kedua termasuk pemain perseorangan lelaki Liew Daren serta pemain perseorangan wanita Tee Ji Ying dan Lydia Cheah.

Liew mengalahkan Sai Praneeth dari India 17-21, 21-15, 22-20 manakala Tee dan Cheah masing-masing mengatasi Pai Hsiao Ma dari Taiwan 16-21, 21-14, 21-12 dan pemain Jepun, Hashimoto Yui, 21-19, 21-19.

Dalam acara beregu, pasangan adik-beradik Ng Hui Lin/Ng Hui Ern mengalahkan Eva Lee/Paula Lynn Obanana dari Amerika Syarikat 22-20, 21-18 dalam acara beregu wanita manakala Hoon Thien How/Tan Wee Kiong mengatasi gandingan India, Pranav Jerry Chopra/Akshay Dewalkar 21-16, 21-13 dalam acara beregu lelaki.

Terdahulu itu, Tan dan Ng (Hui) turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan gandingan Jepun, Shohei Hoshino/Kugo Asumi 24-22, 21-12 dalam acara beregu campuran.

Beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, yang menerima 'bye' pada pusingan pertama, akan membuka saingan esok dengan menentang beregu Thailand, Patiphat Chalardchaleam dan Nipitphon Puangpuapech. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain