suria

Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha: PKNS FC, CIMB YFA Mara Ke Final

KUALA LUMPUR: Kemuncak Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha 2012 Bawah 14 Tahun bakal menentukan pasukan mana yang bergelar juara tahun ini akan terjawab pada final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 23 September ini.

Kejohanan yang memulakan aksi pada Mei lalu menyaksikan sebanyak 30 pasukan berentap untuk merebut gelaran juara, namun tuah lebih memihak kepada pasukan PKNS FC dengan CIMB YFA selepas masing-masing menewaskan lawan pada aksi separuh akhir di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh baru-baru ini.

Pasukan PKNS FC yang julung kalinya mara ke final begitu teruja selepas menewaskan Permata Lestari sekali gus memberi semangat luar biasa menjelang pertemuan dengan juara bertahan, CIMB YFA.

"Ini adalah kali pertama kami berjaya melayakkan diri ke final. Masih banyak yang kami perlu lakukan dari segi persediaan taktikal bagi menghadapi final minggu ini,” kata jurulatih pasukan, Mohd Yazid Ahmad.

Manakala CIMB YFA yang tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan Perkasa FC 2-0 menerusi jaringan Abd Hafiz Irham Abd Karim pada minit ketujuh dan Kogileswaran Raj Mohan (m-57).

"Kami kini memburu gelaran berganda selepas memenangi kategori bawah 12. Kejayaan mara ke final adalah habuan buat kami sejak saya mula mengendalikan kelab ini sejak 2003," jelas jurulatih CIMB YFA, Khairul Ariffin Ishak.

Artikel Lain