SPRM Siasat Dakwaan Pasukan Terengganu Jual Perlawanan - Sukan | mStar

SPRM Siasat Dakwaan Pasukan Terengganu Jual Perlawanan

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menyiasat dakwaan bahawa pemain Terengganu 'menjual permainan' semasa menentang Kedah dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini Sabtu lalu.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan B itu.

Antara nama yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa selain dua individu tersebut, beberapa pegawai PBSNT dan pemain Terengganu lain turut dipanggil untuk memberi keterangan.

"Kita mula menjalankan siasatan hari ini, tetapi ia masih dalam peringkat siasatan awal dan kita telah membebaskan semua yang dipanggil itu selepas keterangan mereka diambil," katanya kepada pemberita.

Jelasnya, kesemua yang dipanggil telah memberi kerjasama yang baik dan membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan dengan lancar. Md Yusoff berkata beliau tidak boleh memberi ulasan lanjut kerana siasatan masih di peringkat awal.

Sebelum ini Sharbinee dilaporkan sebagi berkata beliau sanggup disiasat ekoran dakwaan beliau menjual perlawanan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Ronaldo Tuntut Gaji Sehingga £25 Juta Setahun

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain