suria

Skuad Harimau Malaya Bakal Berlatih Di Austria Bulan Depan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih negara Datuk K. Rajagobal mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan di Vienna, Austria dari 4-16 Ogos ini sebagai persiapan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini.

Beliau berkata skuad 28 pemain tersebut akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab profesional di negara berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

"Menerusi tiga perlawanan itu, saya harap dapat membuat penilaian mengenai kesebelasan utama untuk Piala AFF Suzuki nanti," katanya kepada pemberita selepas sidang media perlawanan persahabatan dengan Arsenal FC di sini, Ahad.

Rajagobal turut berharap empat pemain utama skuad Harimau Malaya iaitu Mohd Safee Sali, Ahmad Shakir Mohd Ali, Yong Kuong Yong serta penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang kini berdepan dengan masalah kecederaan mampu pulih sebelum bermula saingan Piala AFF nanti.

"Kalau boleh, saya mahu menyenaraikan pemain terbaik negara untuk Piala AFF namun kita harus realistik bahawa mereka mungkin akan tercedera sekiranya saya menggunakan khidmat mereka secara berterusan," katanya.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan getir pada Piala AFF Suzuki kali ini apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B.

Turut akan disenaraikan dalam kumpulan berkenaan ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Okt depan.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Okt di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Perlawanan Kumpulan A yang melibatkan Thailand, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 Nov hingga 22 Dis.

Harimau Malaya akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 25 Nov diikuti naib juara pusingan kelayakan pada 27 Nov sebelum menutup aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Nov.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain