suria

Sukma 2012: Negeri Sembilan Sasar 36 Pingat Emas

SEREMBAN: Negeri Sembilan mensasarkan sekurang-kurangnya 36 pingat emas, sekaligus berharap dapat menduduki tempat kelima pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV 2012 di Pahang, bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau yakin kontinjen Negeri Sembilan yang mengandungi 394 orang pegawai dan atlet mampu mencapai sasaran itu berdasarkan persiapan rapi yang telah disusun sejak tiga tahun lalu.

"Semua atlet menunjukkan semangat yang tinggi untuk melakar kejayaan bagi mengharumkan nama negeri ini.

"Jika setiap atlet dapat mempamerkan prestasi terbaik dan semangat juang yang tinggi, bukan mustahil untuk mereka mendapatkan keputusan cemerlang dan meraih pingat emas," katanya di sini, Khamis.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Fouzee Abd Aziz berkata semua atlet negeri sudah bersedia untuk menggalas cabaran dan kini mereka berada dalam satu pusat latihan khas di Seremban 2 dan Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

"Sasaran kita adalah untuk memperbaiki pencapaian temasya sebelum ini di mana kita meraih 30 pingat emas pada Sukma di Melaka 2010," katanya.

Pada Sukma kali ini kontinjen Negeri Sembilan akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 24 acara sukan yang dipertandingkan kecuali bola tampar dewan dan equestrian.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain