suria

Pemain Kriket Muda Terbaik Asia Bersaing Piala Asia Bawah 19 Tahun

KUALA LUMPUR: Beberapa pemain kriket muda terbaik Asia akan berentap dalam kejohanan yang bakal menampilkan aksi menarik apabila Persatuan Kriket Malaysia (MCA) menjadi tuan rumah Piala Asia Bawah 19 Tahun Majlis Kriket Asia (ACC) dari Sabtu ini hingga 1 Julai.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCA berkata pada kejohanan yang membabitkan penyertaan lapan pasukan itu akan menampilkan empat negara berstatus 'test' - India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh selain Malaysia, Afghanistan, Nepal dan Qatar.

Kejohanan tersebut dijadual berlangsung di Padang Kinrara di Puchong, Padang Bayuemas di Klang, Selangor Turf Club di Sri Kembangan dan Kelab Diraja Selangor.

Bagi pusingan awal, pasukan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Pakistan serta Nepal dan perlawanan pembukaan pasukan negara ialah menentang India pada 23 Jun di Padang Kinrara.

Saingan dalam kedua-dua kumpulan itu akan bermain secara liga satu pusingan dengan diikuti dengan perlawanan silang antara kedua-dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan di peringkat separuh akhir.

Perlawanan akhir dijadual diadakan di Padang Kinrara pada 1 Julai. Perlawanan harian akan mengikut format 50-overs sebelah dan akan bermula pada 10 pagi setiap hari (kecuali perlawanan di Selangor Turf Club pada 10.30 pagi).

Tumpuan sudah tentu terarah kepada pasukan Pakistan yang muncul naib juara pada Piala Dunia Bawah 19 Tahun Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) manakala Nepal hadir ke sini dengan prestasi yang baik setelah layak ke pusingan akhir Piala Elit ACC Bawah 19 Tahun tahun lepas.

Walaupun tidak banyak harapan diletakkan di bahu pasukan muda negara berbanding pasukan lawan yang lebih berpengalaman dan berada dalam ranking tertinggi, mereka boleh menjadikan kejayaan skuad bawah 16 tahun yang muncul juara pada Trofi Elit ACC Bawah 16 Tahun di Malaysia awal tahun ini, sebagai pembakar semangat pada kejohanan itu.

Kemenangan itu adalah kejayaan pertama bagi Malaysia dalam mana-mana kejohanan ACC dan satu lagi sebab untuk MCA berasa gembira dengan kemajuan kriket di negara ini, selepas ranking skuad senior kebangsaan meningkat kepada tangga ke-30 dalam Rangking Dunia ICC awal tahun ini.

Pasukan negara adalah di bawah bimbingan bekas pemain kriket 'test' Sri Lanka, Roy Lukas Dias, yang kini merupakan pengarah kejurulatihan.

Senarai akhir 15 pemain untuk membawa cabaran Malaysia pada kejohanan itu, dipilih selepas siri latihan dan perlawanan pendedahan yang diadakan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain