suria

Lions XII Menang Tipis Kepada Terengganu

KUALA LUMPUR: Skuad Lions XII dari Singapura terus memperkukuhkan kedudukan persada Liga Super apabila mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Selasa.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Lions XII kini mengumpul 50 mata selepas 24 perlawanan.

Gol tunggal pasukan tersebut hanya hadir pada minit ke-90 hasil jaringan Sufian Anuar.

Kelantan turut mencatat kemenangan tipis apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Kelantan kekal menduduki tangga kedua liga dengan kutipan 44 mata selepas 19 perlawanan.

Mohamad Ghaddar Mohamed menjadi wira Kelantan apabila menjaringkan gol pada minit ke-60 menerusi sepakan penalti.

Selangor mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan T-Team 5-0 di Stadium Shah Alam.

Gol Selangor hadir seawal minit kelima hasil jaringan penalti yang dijaringkan oleh Mohd Safiq Rahim sebelum pemain import Selangor, Ramez Jamal Dayoub menggandakan jaringan pada minit ke-45.

Bosko Balaban kemudianya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63 diikuti oleh R.Surendren pada minit ke-85 dan Mohd Fitri Shazwan Raduwan menambah duka T-Team dengan gol kelima pada minit ke-90.

Pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS turut mencatat kemenangan besar apabila menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol PKNS dijaringkan oleh Mohd Nizaruddin Yusoff pada minit ke-45, Mohd Helmi Remeli (64), Rudie Ramli (66) dan Mohd Fadhli Mohd Hashim pada minit ke-80.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan menang selesa 3-1 ke atas Sarawak. Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-32, Mohd Alif Shamsudin (50) dan Jean Effa Owona (54) manakala gol saguhati Sarawak disumbangkan oleh Khairul Azhar Eidros pada minit ke-56.

Di Stadium Perak, Ipoh, Perak menewaskan Felda United 2-1 dan Johor FC mengatasi Kedah 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain