suria

Kaji Kemerosotan Skuad Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji kemerosotan skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bagi memastikan pasukan itu benar-benar bersedia mempertahan Piala AFF Suzuki pada November.

Mengambil contoh keputusan seri 1-1 ketika bertemu Filipina di Stadium Shah Alam semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan keputusan itu jelas tidak mencerminkan kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya.

"Saya rasa kita patut menang kerana kita bermain di laman sendiri...bagi saya, keputusan seri tanpa jaringan (ketika bertemu Filipina) adalah tidak wajar.

"Malahan ramai yang berpendapat, pemain yang diturunkan semalam tidak bermain dengan sepenuh hati, jadi saya mahu FAM melihat perkara ini lebih serius kerana Kejohanan Piala AFF Suzuki akan berlangsung tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36 di Lapang Menembak Sasar Kebangsaan di Subang pada Sabtu.

Kejohanan 10 hari bermula esok itu menyaksikan penyertaan Taiwan, Hong Kong, Macau, Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya bercadang menambah dana Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) bagi memastikan lebih ramai bakat baru dapat dilahirkan.

"Saya perlu berbincang dengan mereka (NSAM) untuk mengetahui apakah keperluan utama yang mereka perlukan pada masa depan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain