Skuad Negara Hadapi Kesukaran Dalam Sesi Latihan - Sukan | mStar

Skuad Negara Hadapi Kesukaran Dalam Sesi Latihan

WUHAN: Hanya diberi satu gelanggang dengan sesi latihan selama sejam tidak mematahkan semangat pasukan Malaysia untuk membuat persembahan terbaik pada Kejohanan Piala Thomas 2012.

"Datang negara orang kita terima saja, jangan banyak merungut. Ini permainan psikologi mereka (pasukan China), jangan cepat terpengaruh," kata pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei kepada Bernama di sini Sabtu.

Beliau yang terpaksa berkongsi gelanggang itu dengan pemain lain berkata waktu satu jam itu tidak cukup untuk latihan.

Malah mereka juga tidak dapat merasai suasana sebenar pertandingan memandangkan pihak penganjur tidak menghidupkan penghawa dingin, katanya dan menambah: "Apapun sebagai kapten saya mesti buat yang terbaik untuk menunjukkan contoh yang baik kepada pemain junior."

Bagaimanapun, pasukan negara bertuah kerana skuad Indonesia membenarkan pemain negara berkongsi satu gelanggang bersama mereka.

Skuad negara yang juga terdiri daripada perseorangan Liew Daren, Muhammad Hafiz Hashim, Chong Wei Feng dan beregu Koo Kean Keat/Tan Boon Heong, Goh V. Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong, akan memulakan aksi Isnin ini menentang Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Boo anjing paling comel di dunia mati