suria

Kerajaan Sarawak Rancang Tubuh Perbadanan Sukan Untuk Lahir Atlet Berprestasi Tinggi

KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan perbadanan sukan sebagai strategi meningkatkan pembangunan sukan di negeri ini, kata Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Jumaat.

Beliau berkata cadangan penubuhan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi serta mempromosikan sukan sebagai satu lagi bidang aktiviti ekonomi.

"Pembentukan SSC merupakan antara saranan yang dibuat menerusi kajian pelan induk untuk pembangunan sukan Sarawak sehingga 2020," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, Jumaat.

Pembentukan SSC juga diyakini dapat menyuburkan lagi keharmonian pada kalangan masyarakat selain menggalakkan cara hidup sihat, katanya.

Lee berkata selain itu kerajaan negeri juga disaran memberi penekanan kepada sukan akuatik, memanah, ping-pong, tenis serta acara padang dan balapan, angkat berat dan wushu sebagai bidang sukan utama negeri. - BERNAMA

Artikel Lain