suria

Moral Pemain Kedah Masih Rendah Selepas Tewas Separuh Akhir Piala FA

ALOR SETAR: Kekalahan kepada Kelantan pada saingan separuh akhir Piala FA minggu lepas masih membayangi pemain-pemain Kedah yang menyebabkan pasukan itu gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, Selasa malam.

Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berkata moral pemainnya begitu rendah dan sedikit terganggu kerana masih dibayangi kekecewaan tumpas kepada Kelantan pada saingan Piala FA di hadapan ribuan penyokong mereka 1 Mei lepas.

" Sudah tentu saya mahukan tiga mata penuh pada malam ini (tadi) dan pemain telah lakukan yang terbaik namun gagal untuk dapatkan mata berharga itu di laman sendiri.

" Kita akan berusaha pada perlawanan akan datang untuk mendapatkan tiga mata penuh," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu.

Wan Jamak berkata kelekaan dan kesilapan pertahanan Kedah sekali lagi menjadi punca pasukannya gagal untuk memperoleh tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah terlebih dahulu mendapatkan gol pasukan menerusi pemain importnya Vedran Gerc pada minit ke-47 yang mudah menewaskan penjaga gol lawan Shamsuri Mustafa.

T-Team menyekat hasrat pasukan tuan rumah mendapatkan tiga mata penuh apabila Mohd Fazli Shaari menanduk masuk hantaran lintang Azrul Hazran pada minit ke-58.

Kedah kini berada di kedudukan ke-12 daripada 14 pasukan dalam saingan liga dengan 17 mata daripada 15 perlawanan, hasil empat kemenangan, lima seri dan enam kalah.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain