Persatuan Mahu Kembalikan Kegemilangan Sukan Kriket Di Terengganu - Sukan | mStar

Persatuan Mahu Kembalikan Kegemilangan Sukan Kriket Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Persatuan Kriket Negeri Terengganu (PKNT) komited untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini yang dianggap 'sudah berkubur' oleh sesetengah pihak.

Bagi merealisasikan impian itu, Pengerusinya Apli Yusof berkata PKNT yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat yang bermula bulan depan.

Katanya, di peringkat Sukan Malaysia (Sukma), Terengganu sudah lebih 20 tahun tidak terlibat dalam acara berkenaan walaupun sukan itu pernah melonjakkan nama Terengganu sekitar tahun 1980-an.

"Kita akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi mencari kira-kira 20 atlet lelaki bawah 20 tahun dengan bantuan jurulatih daripada MCA sendiri serta bekas pemain kriket Terengganu.

"Bermula tahun hadapan juga, PKNT akan menyertai beberapa kejohanan peringkat remaja kebangsaan untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Menurut beliau, dengan keupayaan pasukan sedia ada, Terengganu turut memberi saingan pada kejohanan kriket kebangsaan anjuran MCA bermula April lalu di Kuala Lumpur dan akan berakhir awal Jun ini.

Katanya, pasukan bimbingan Zainal Fitri Zainal Abidin itu dibarisi 20 pemain berwibawa seperti Ruzmi Awang, Hamrizal Haris, Ahmad Yusaidie Ibrahim, Nizam Semaon, Mohd Azhar Ahmad dan lima pemain dari Pakistan.

"Kita harap mereka mampu memberi saingan terbaik bagi membuktikan Terengganu masih mempunyai pemain yang disegani dalam acara ini. Ia penting bagi menaikkan moral persatuan untuk melahirkan pelapis baru pada masa depan," katanya.

Daripada segi prasarana sukan itu, kata Apli, PKNT masih belum mempunyai kemudahan lengkap untuk latihan atau apa jua penganjuran pertandingan peringkat negeri.

Pada masa ini, kata persatuan menumpukan sepenuhnya pada latihan manakala sesi pencarian bakat akan datang akan diadakan di padang Kompleks Sukan Gong Badak, di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain