suria

MSNT Beri Ganjaran RM1,000 Seorang Kepada Pemain Sepak Takraw

KUALA TERENGGANU: Pasukan sepak takraw Terengganu akan menerima ganjaran RM1,000 setiap seorang daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selepas mengungguli Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2012 di Manjung, Perak, Ahad.

Pengarah MSNT Zainal Abidin Hussin berkata ganjaran itu sebagaimana terkandung dalam skim kemenangan hadiah MSNT dan diperuntukkan bagi pasukan yang merangkul kejuaraan peringkat kebangsaan.

"Kita akan berikan ganjaran ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan pasukan Terengganu yang baru pulang daripada kejohanan itu di MSNT, di sini, Isnin.

Pada final, Terengganu, yang dibimbing bekas jurulatih Thailand, Vittaya Bontal, telah mengalahkan Selangor 2-0.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) Ahmad Shapian Ali berkata pasukan negeri telah mencipta sejarah mengungguli kejohanan itu buat julung kali selepas berjaya melangkah ke final tiga tahun berturut-turut dari 2007 hingga 2009.

Katanya sebelum menyertai kejohanan itu, pasukan Terengganu telah mengikuti latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan selama dua minggu di Bangkok, Thailand. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain