suria

Schumacher, Rosberg Sedia Gegar Litar Sepang Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Pasukan Mercedes AMG Petronas F1 bersedia untuk persembahan lebih baik pada perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang Ahad ini selepas kecewa pada pusingan pembukaan di Litar Albert Park, Melbourne, Australia, minggu lepas.

"Saya tidak sabar untuk berlumba di sini. Sepang adalah kisah baru dan Melbourne (GP Australia) cerita lain," kata pemandu Nico Rosberg dalam temubual eksklusif dengan Bernama di Galeri Petronas di sini Rabu.

"Saya selalu mengharp kepada GP Malaysia dan Sepang adalah salah satu litar pilihan saya dan juga perlumbaan di gelanggang sendiri bagi rakan-rakan saya di Petronas.

"Saya yakin kami boleh memperbaiki prestasi kami di sini dan akan menikmati hujung minggu yang berjaya di hadapan semua penyokong kami di Malaysia," kata Rosberg, yang menduduki tempat ketiga pada GP Malaysia 2010.

Beliau berkata selepas GP Australia Ahad lalu, jurutera pasukan itu telah berusaha keras untuk mempersiapkan sususan baru kereta.

Selepas kecewa dengan perlumbaan pertama di Australia, rakan sepasukan dan bekas juara dunia, Michael Schumacher berharap keadaan keretanya pada perlumbaan di sini jauh lebih baik.

"Tugas paling utama di sini adalah melakukan persembahan baik kerana ini adalah perlumbaan di gelanggang sendiri dan kami mahu melakukan terbaik untuk rakan-rakan kami.

"Selepas apa yang berlaku di Australia, kami harap memperbaiki prestasi di sini," kata Schumacher.

Katanya kenderaan mereka adalah pantas dan kompetitif untuk musim ini tetapi pasukan itu perlu berusaha dalam beberapa perkara bagi membolehkan berada di tahap yang lebih baik.

"Kereta itu mampu memberikan kami keputusan yang baik dan saya berasa selesa dengan kenderaan ini untuk perlumbaan seterusnya. Sepang adalah menarik bagi semua kerana ia akan memberi petanda awal kepada keupayaan sebenar semua kenderaan yang bertarung," katanya.

Terdahulu, kedua-dua pelumba pasukan itu bersama pemandu simpanan, Sam Bird, meluangkan masa hampir sejam bersama 70 murid sekolah dari beberapa sekolah pilihan di Kuala Lumpur dalam acara permainan interaktif di pusat penemuaan sains interaktif di Petrosains. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain