suria

Esther Kembali Bangkit Dengan Rangkul Emas

PETALING JAYA: Pemain boling wanita negara Esther Cheah menyifatkan kejayaan merangkul acara perseorangan pada Kejohanan Antara Negeri ke-25 di sini telah memberi perangsang sekali gus menaikkan semula moralnya selepas kembali dari kecederaan selama tiga bulan.

Walaupun hanya mengikuti latihan selama dua minggu, pemain Pulau Pinang itu berjaya mencatatkan 1,334 jatuhan pin pada enam perlawanan terbaik untuk merangkul pingat emas.

"Saya harap kejayaan ini akan menaikkan semangat saya untuk terus menyumbang pingat kepada pasukan walaupun ia bukan mudah dengan kehadiran pemain negara dalam pertandingan ini," kata pemain berusia 26 tahun itu, Selasa.

"Saya bertekad untuk menampilkan persembahan terbaik pada kejohanan ini selepas pulih dari kecederaan lutut kanan," katanya.

Esther mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika turun dari bas sejurus tiba di hotel penginapan di Jakarta sebelum bermula Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November lepas.-BERNAMA

Artikel Lain