suria

SGF Beri MOM Tempoh Dua Minggu Untuk Adakan Inkuiri Kes Firdaus Dan Yunus

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan SEA (SGF) telah memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengadakan inkuiri kes atlet angkat berat Firdaus Abdul Razak dan pelari 4x400m Mohd Yunus Lasalleh yang gagal ujian doping selepas memenangi pingat pada temasya Sukan SEA Indonesia, November lepas.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata Presiden SGF Rita Subowo, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc), juga mengarahkan MOM membentangkan laporan penuh mengenai inkuiri itu kepada SGF.

"Kami akan panggil kedua-dua atlet, yang mana sampel A dan B mereka didapati positif untuk sesi inkuiri dengan secepat mungkin," kata Tunku Imran kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas MOM pada Khamis.

Pada 21 Dis lalu, Inasoc memaklumkan kepada MOM bahawa sampel A Mohd Yunus, atlet pasukan 4x400m yang merangkul emas dan Firdaus, pemenang pingat gangsa acara 105kg, didapati positif menggunakan bahan terlarang manakala keputusan sampel B juga membuktikan positif.

Tunku Imran berkata MOM akan menghantar laporan penuh kepada SGF sebaik selesai sesi inkuiri itu. MOM juga akan menghantar laporan itu kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), katanya.

Firdaus dan Mohd Yunus, yang berdepan dengan kemungkinan hukuman penggantungan selama dua tahun, juga mungkin kehilangan pingat yang dimenangi mereka pada temasya dwitahunan itu.

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran berkata MOM tidak akan campur tangan dalam isu petisyen yang dikemukakan oleh 42 atlet negara dan 16 jurulatih kebangsaan, yang mendesak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memecat timbalan presidennya Datuk Karim Ibrahim.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain