suria

Pemain Tidak Terlibat Terkena Tempias Skandal Rasuah Bola Sepak

IPOH: Penglibatan pemain dalam skandal rasuah bola sepak bukan sahaja merosakkan keseluruhan liga sebaliknya ia turut mencemarkan nama pemain yang "bersih" daripada gejala itu.

Pengurus Pasukan Piala Presiden Perak Isham Shaharuddin berkata tindakan tidak bermoral segelintir pemain itu turut memberi kesan buruk kepada pemain yang tidak terlibat.

"Rasuah merupakan titik hitam dalam sukan ini dan sebagai bekas pemain saya menasihatkan semua pemain muda supaya menjauhi perbuatan itu," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Rabu lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penggantungan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim lepas daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.

Penggantungan itu berkuat kuasa 30 November lepas. Mengimbas kembali skandal rasuah yang melibatkan pasukan Perak pada tahun 1994, Isham yang juga bekas pemain bola sepak negeri itu berkata seluruh pasukan terpaksa berhadapan orang ramai yang hampa dengan pemain yang terlibat dengan gejala rasuah itu.

"Kami yang tidak terlibat dengan perbuatan itu sebelum ini juga terkena tempiasnya. Kereta saya sendiri dicalar peminat, bukan itu sahaja cermin turut dipecahkan," katanya.

Beliau berkata walaupun bukan semua pemain dalam pasukan itu terlibat dalam skandal rasuah, seluruh pasukan turut dihantui rasa tidak senang hati.

"Ia memberikan kesan tidak baik kepada minda pemain. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.

Isham berkata sekiranya pemain benar-benar inginkan kemewahan, mereka perlulah berusaha dengan gigih, memantapkan permainan serta menjadi pemain terbaik negara seperti Safee Sali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain