suria

Ketua Kontinjen Malaysia Puji Persiapan Sukan Para ASEAN Di Solo

SOLO: Ketua Kontinjen Paralimpik Malaysia Datuk Borhan Dolah memuji penganjur Sukan Para ASEAN yang menyediakan kemudahan diperlukan atlet paralimpik sepanjang berlangsungnya temasya keenam itu esok.

Beliau berkata walaupun ini kali pertama Indonesia menganjurkan temasya untuk Orang Kurang Upaya (OKU), sikap terbuka mereka dalam menerima teguran peserta negara lain harus dipuji.

"Saya sendiri dan beberapa ketua kontinjen negara lain berpuas hati dengan mutu makanan, tempat penginapan, jadual pengangkutan dan kemudahan lain yang diperlukan oleh atlet OKU," katanya kepada Bernama ketika meninjau persiapan peserta negara di perkampungan atlet hari ini.

Borhan berkata sebahagian besar atlet paralimpik negara meluahkan rasa gembira dan selesa tinggal di perkampungan sukan itu.

"Sehingga kini, semua atlet paralimpik negara berada dalam keadaan selamat dan sihat... mereka tidak sabar untuk memulakan aksi dalam saingan kelayakan esok," katanya.

Sementara itu, atlet elit acara tenis kerusi roda Abu Samah Borhan berkata beliau dan rakan berpuas hati dengan kemudahan OKU yang disediakan penganjur.

"Walaupun kemudahan disini tidak sehebat edisi di Kuala Lumpur pada 2009, tetapi ia mencukupi bagi kami," katanya.

Abu Samah berharap rakan yang lain dapat menerima sedikit kekurangan yang terdapat di sini bagi menghargai kesungguhan penganjur temasya dwitahunan itu.

Malaysia menghantar 120 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 10 acara iaitu olahraga, memanah, badminton, goal ball, angkat berat, renang, ping-pong, bola tampar duduk, tenis berkerusi roda dan tenpin boling. - BERNAMA

Artikel Lain