suria

Hafizh Tidak Berasa Tertekan

WALAUPUN masih berpeluang untuk menamatkan saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2011 di tangga kedua keseluruhan, pelumba muda SuperSports 600cc negara, Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) hadir ke Litar Antarabangsa Losail, Qatar, minggu ini tanpa sebarang tekanan.

Pelumba 17 tahun dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu yang kini berada di keempat keseluruhan dengan 94 mata, sebaliknya tidak menyembunyi peluangnya tipis berikutan jurang perbezaan begitu besar iaitu sebanyak 46 mata berbanding rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) yang kini menduduki tangga kedua dengan 140 mata.

Selain itu, musim 2011 hanya merupakan tahun kedua Hafizh beraksi dalam kategori SuperSports 600cc dan pencapaiannya sudah pun di luar jangkaan dengan kejayaan tiga kali menaiki podium, dua daripadanya di tempat ketiga sewaktu di Jepun (Pusingan 4) dan sekali di tempat kedua pada Perlumbaan 1 di Zhuhai (Pusingan 5).

Puas dengan peningkatan ketara yang ditunjukkan dalam tempoh yang singkat, Hafizh hanya meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di hadapan pesaing terdekatnya, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Yamaha Malaysia) yang berada di tangga ketiga dengan 107 mata.

“Persaingan pastinya akan bertambah sengit pada minggu ini terutama diantara Azlan, Zamri dan saya.

"Ketiga-tiga diantara kami berpeluang untuk menamatkan musim ini di tangga kedua keseluruhan di belakang juara SuperSports 600cc, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) namun berbanding kedua-dua senior saya itu, saya tidak menghadapi sebarang tekanan untuk mendapatkannya,” kata pelumba wildcard Moto2 Malaysia 2011 itu.

Hafizh menambah, secara peribadi, jurang 46 mata diantara dia dengan Azlan begitu besar dan agak mustahil untuk mengejarnya melainkan jika dia gagal menamatkan perlumbaan (DNF).

"Oleh itu, saya berhasrat untuk menamatkan saingan musim ini dengan kejayaan merampas tangga ketiga keseluruhan daripada Zamri.

Sasaran ini lebih realistik memandangkan kami hanya dibezakan sebanyak 13 mata. Jika saya berjaya mendapatkannya, ia sudah cukup baik memandangkan ini hanya merupakan tahun kedua saya bertanding dalam kategori SuperSports 600cc," katanya.

Artikel Lain