suria

Proses Transformasi PAFA Ke Arah Pembangunan Bola Sepak Perak

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggariskan lapan teras dan panduan bagi mentransformasikan semula badan itu supaya dapat berfungsi dengan lebih berkesan ke arah pembangunan sukan berkenaan, kata Presidennya Datuk Zainol Padzi Paharuddin.

Beliau berkata antara perkara asas yang akan dilakukan dalam transformasi itu adalah penstukturan semula pentadbiran PAFA dengan merombak struktur perjawatan dan menambah kakitangan mengikut keperluan.

"Kita akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sebagai nilai tambah kepada sistem pentadbiran sedia ada...selepas ini semua kerja-kerja akan dibereskan dengan berteraskan SOP," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Sebuah laman web juga akan diwujudkan di bawah kendalian pentadbiran PAFA bagi memudahkan peminat mendapatkan maklumat terbaru mengenai organisasi ini, katanya.

Beliau berkata pengurusan PAFA juga bersetuju akan menjadikan Konsep Mesra Pelanggan sebagai satu budaya dalam organisasi itu.

Zainol Padzi berkata dengan konsep baru yang digariskan itu PAFA akan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pemain, pengurusan dan penyokong pasukan.

Beliau berkata badan itu juga akan memberi perhatian kepada kebajikan petugas perlawanan dan sukarelawan dengan menyediakan insuran berkelompok.

Lapan teras yang ditetapkan PAFA ke arah transformasi antaranya penstrukturan semula pentadbiran, penambahbaikan pengurusan stadium dan pengubahsuaian pejabat persatuan, katanya.

Bagi tujuan memberi keselesaan kepada kakitangan pentadbiran beberapa perubahan akan dibuat dengan menaik taraf pejabat PAFA, di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park di sini.

Beliau berkata PAFA juga akan mempunyai logo, 'tagline' dan lagu rasmi pasukan yang baru selain menyediakan sebuah padang latihan berpusat bagi memudahkan latihan serta memantapkan Program Pembangunan Bola Sepak di peringkat daerah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

PSNT Semarak Sepak Takraw Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain